18.9.10

Kad Kredit : Kebaikan dan Keburukkannya

Pengenalan

Kad kredit bolehlah ditakrifkan sebagai sejenis kad yang digunakan sebagai pengganti wang tunai atau buat masa ini lebih dikenali sebagai wang plastik. Sejak akhir-akhir ini, penggunaan kad kredit didapati semakin popular di kalangan masyarakat kita terutamanya ahli perniagaan.Kini terdapat semakin banyak syarikat yang mengeluarkan kad kredit seperti American Express, Visa dan Master Card. Menurut pendapat Menteri Kewangan Malaysia, penggunaan kad kredit merupakan pemangkin masalah inflasi yang sangat ketara. Di samping itu, beliau juga turut meramalkan bahawa bilangan pengguna kad kredit ini negara kita akan bertambah pada tahun-tahun yang akan datang. Pada hemat saya penggunaan kad kredit akan terus diamalkan oleh masyarakat kita kerana kad tersebut mempunyai kebaikannya yang tersendiri.
Kebaikan kad kredit

Salah satu daripada faktor yang menggalakkan orang ramai menggunakan kad kredit ialah mereka tidak perlu membawa wang tunai yang banyak untuk membeli belah. Bagi sesetengah pengguna, membawa wang tunai yang banyak ketika membeli belah merupakan suatu beban. Keadaan ini lebih ketara sejak kerajaan mewujudkan wang yang bernilai seringgit dalam bentuk siling. Kini terdapat hampir 50 peratus daripada pengguna yang membeli belah di pasar raya- pasar raya dengan menggunakan kad kredit. Pada hemat saya pengguna akan berasa lebih selesa menggunakan kad kredit daripada menggunakan wang tunai kerana kad kredit lebih ringan dan tidak mendatangkan masalah untuk digunakan bila-bila difikirkan perlu.
Pengguna kad kredit juga berasa lebih selamat menggunakan kad kredit berbanding dengan penggunaan wang tunai. Hal ini kerana semua kad kredit yang digunakan tidak boleh bertukar milik. Setiap kali mereka menggunakan kad kredit tersebut mereka dikehendaki menandatangani borang khas yang akan dapat mengesan pemilik sebenar kad kredit tersebut. Oleh hal yang demikian, pemilik kad kredit tidak perlu bimbang sekiranya kad mereka hilang atau dicuri orang. Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh pengeluar kad kredit American Express, jumlah pemegang kad tersebut bertambah hampir 40 peratus pada setiap tahun. Menurut kebanyakan pemilik kad tersebut, mereka berasa lebih selamat menggunakan American Express kerana mereka cepat mendapatkan kad ganti yang baru dengan cepat apabila berlaku kehilangan. Dalam hal ini saya berpendapat faktor keselamatanlah yang paling banyak mendorong pengguna menggunakan kad kredit.
Keburukan kad kredit

Di samping kemudahan yang boleh dinikmati, pemegang kad kredit juga sering menghadapi beberapa masalah. Hal ini kerana tidak semua para peniaga mahu menerima pembelian secara kredit terutamanya kedai-kedai biasa atau kedai-kedai kecil yang jumlahnya lebih banyak daripada kedai-kedai yang besar atau pusat-pusat membeli belah yang terkenal. Oleh hal yang demikian, tempat-tempat penginapan atau pusat-pusat membeli belah yang boleh dikunjungi oleh pemegang kad kredit adalah terhad. Oleh itu, pemegang kad kredit mungkin menghadapi masalah sekiranya pusat membeli belah atau kedai dan gerai yang mereka kunjungi itu menolak penggunaan kad kredit.
Urusan perniagaan yang menggunakan kad kredit dijalankan dengan penggunaan komputer.Oleh itu, terdapat kemungkinan berlaku penyelewengan dalam urus niaga tersebut. Walaupun perkara seperti ini jarang-jarang berlaku, kebanyakan peniaga tidak yakin dengan pelanggan yang menggunakan kad kredit terutamanya kad kredit yang tidak popular. Para peniaga tidak sanggup menanggung risiko yang tinggi dengan menerima kad kredit tersebut. Pihak Polis Bahagian Jenayah Perdagangan sering mengingatkan para peniaga supaya sentiasa berwaspada ketika berurus niaga dengan pengguna yang menggunakan kad kredit. Ini kerana mereka telah menerima lebih daripada 150 aduan berkaitan dengan hal tersebut sejak awal tahun ini.
Penutup

Melalui huraian di atas,dapatlah dikatakan bahawa terdapat beberapa kebaikan dan keburukan penggunaan kad kredit. Namun begitu, sekiranya pemilik kad kredit menggunakan kemudahan tersebut secara bijak, mereka akan mendapat faedah yang banyak. Sebaliknya, jika kad kredit tidak digunakan secara berhati-hati, pemiliknya akan menderita akibat beban hutang yang terpaksa ditanggung sehingga bertahun-tahun. Pada pendapat saya, walaupun penggunaan kad kredit didapati semakin popular dari setahun ke setahun, namun `wang plastik’ tersebut pasti tidak mungkin dapat menggantikan wang tunai yang sebenar.

Sumber : http://www.prihatin.net/pendidikan-a-bahasa/76

Kesalahan-kesalahan Umum Yang Dilakukan Oleh Calon Dalam Penulisan Karangan ( Bahagian A dan Bahagian B)

1) Takrif kepada tajuk
  • Calon tidak dapat memberikan takrif yang tepat terhadap tajuk.
  • Pendekatan yang kurang berkesan terhadap tajuk karangan yang dipilih.
  • Calon tidak menganalisis soalan terlebih dahulu.
  • Karangan mungkin terpesong.

2) Mutu persembahan tidak memuaskan 
  • Terdapat kesalahan-kesalahan tatabahasa.
  • Pengolahan kurang berkesan 
  • Gaya bahasa tidak lancar
  • Tidak disertakan contoh-contoh atau bukti yang nyata.

3)Susunan perenggan atau pemerengganan

  • susunan perenggan tidak teratur
  • isi-isi tidak disusun menurut keutamaan semasa merangka karangan
  • panjang perenggan tidak seimbang
  • calon sepatutnya menulis karangan dalam enam perenggan sahaja
  • perenggan pendahuluan dan penutup seharusnya ringkas dan pahat
  • calon harus menulis empat perenggan isi dan huraian yang lengkap.

4) Calon tidak menganggap bahawa Bahagian A dan Bahagian B sama penting.

  • Calon tidak menjawab kedua-kedua bahagian ini secara serius.
  • Calon kurang peka terhadap peruntukan markah, iaitu 25 markah bagi setiap satu bahagian, menjadikan jumlahnya 50 markah.
  • Calon hanya menjawab satu bahagian dengan baik manakala satu bahagian lagi jawapannya tidak mantap.
  • markah yang diperoleh tidak seimbang.

5)Calon salah memilih tajuk atau memilih tajuk yang kurang diketahui.

  • Calon tiada pilihan terhadap soalan kerana kurang bersedia apabila menduduki peperiksaan,
  • Calon tidak mengetahui skop jawapan bagi tajuk yang dipilihnya.
  • Calon terlalu bergantung kepada soalan-soalan ramalan sehingga tidak menjangka soalan-soalan yang dikemukakan.
  • Calon tidak dapat menyampaikan isi-isi dengan tepat atau berkesan.
  • Calon hanya menggunakan pengetahuan secara am sahaja.
  • Takrif terhadap tajuk yang salah menyebabkan jawapannya terpesong.

6)Calon kurang berupaya untuk mengemukakan cadangan. pendapat atau fakta yang berkaitan dengan kehendak soanlan yang dipilih itu.
  • Cadangan atau pendapat yang dikemukan agak lemah
  • Calon memberikan fakta yang salah atau tidak berkaitan dengan tajuk
  • Calon gagal untuk memahami kehendak soalan yang sebenar


7) Kesimpulan yang dibuat kurang berkesan.

  • Calon tidak membuat kesimpulan terhadap isi-isi yang dihuraikan
  • Calon tidak menyatakan pendiriannya terhadap isu yang dibincangkan
  • Tiada penyelesaian terhadap masalah atau isu yang dibincangkan itu.

8)Pengolahan isi atau fakta utama kurang berkesan.

  • Calon tidak menyampaikan isi-isi dengan tepat atau berkesan
  • Gagal untuk mengemukakan isi atau idea yang bernas
  • Fakta yang dikemukakan mungkin tidak tepat
  • Calon mengemukan isi-isi yang lemah sahaja.
  • Susunan isi tidak teratur atau tanpa huraian dan contoh.

SEMOGA BERJAYA DALAM PEPERIKSAAN !!!